

|
PENGENALAN
Objektif bahagian dakwah adalah: · Menyampaikan keilmuan dan kefahaman Islam kepada masyarakat bagi merealisasikan hasrat wawasan negara dan harapan ummah. · Menjadikan masjid/surau sebagai pusat pendidikan dan pembanggunan masyarakat. · Memberi bimbingan asas mengenai ajaran Islam kepada saudara baru. · Memberi perkhidmatan kebajikan kepada umat Islam. · Membentuk masyarakat yang berpemikiran dan berperibadi mengikut Al Quran dan As Sunnah.
Bahagian dakwah terbahagi kepada dua unit iaitu: 1. Unit Dakwah 2. Unit Ukhuwah
UNIT DAKWAH Aktiviti dan bidang tugas yang dijalankan oleh Unit Dakwah adalah: · Merancang, melaksana dan menyelaras aktiviti berbentuk dakwah kepada masyarakat seperti Ehya’ Masjid, Ehya’ Ramadan, Seminar, Bengkel, Kursus, dan Forum Ehwal Islam. · Menyedia dan menjemput penceramah untuk setiap program yang dikelolakan oleh unit dakwah. · Perlantikan guru agama majlis. · Memantau kelas agama majlis. · Membayar elaun guru agama majlis. · Urusetia kepada program peringkat negeri seperti Maal Hijrah dan sebagainya.
Berikut adalah peraturan-peraturan pentadbiran untuk rujukan umum bagi mereka yang ingin berurusan dengan unit ini:
PERMOHONAN KEBENARAN MENGADAKAN CERAMAH
1. Setiap ceramah yang akan diadakan perlu mendapat kebenaran JAIPs. 2. Permohonan untuk mendapatkan kebenaran ceramah hendaklah dikemukakan 2 minggu sebelum tarikh ceramah hendak diadakan. 3. Setiap penceramah perlu mematuhi syarat-syarat berikut iaitu: a) Tidak mengkritik dasar Kerajaan / Majlis. b) Tidak menyentuh mana-mana fahaman politik kepartian. c) Tidak menyentuh soal-soal khilafah. d) Tidak menimbulkan perkara-perkara yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
PERMOHONAN MENDAPATKAN TAULIAH MENGAJAR AGAMA
1. Setiap individu yang hendak mengajar Agama Islam perlu mendapatkan tauliah mengajar terlebih dahulu daripada MAIPs.
2. Permohonan untuk mendapatkan tauliah mengajar hendaklah dikemukakan kepada JAIPs dengan mengemukakan perkara-perkara berikut: i) Butir-butir peribadi pemohon. ii) Salinan sijil-sijil kelulusan dan dokumen berkaitan. iii) tempat dan alamat kelas yang akan diadakan.
3. proses pemberian tauliah mengajar adalah melalui temuduga yang akan dijalankan oleh Jawatankuasa Temuduga. Keputusan temuduga akan dikemukakan kepada MAIPs untuk perakuan sebelum tauliah diberikan.
4. Tempoh sah tauliah adalah selama dua tahun.
PERLANTIKAN GURU AGAMA / PEMBUKAAN KELAS AGAMA
1. Setiap calon guru agama mesti mempunyai tauliah mengajar agama yang dikeluarkan oleh MAIPs.
2. permohonan hendaklah dikemukakan kepada JAIPs dengan menyertakan perkara-perkara berikut: i) Butir-butir peribadi pemohon. ii) Salinan sijil-sijil kelulusan dan dokumen berkaitan. iii) Tempat dan alamat kelas yang akan diadakan.
3. Syarat-syarat guru agama adalah: i) Mempunyai kelulusan agama sekurang-kurangnya Sijil IV Thanawi atau yang setaraf dengannya. ii) Mempunyai keperibadian / sahsiah yang baik. iii) Boleh membaca dan menulis rumi / jawi dengan baik. iv) Mempunyai minat dan kesungguhan untuk mengajar. v) Bersedia mematuhi arahan JAIPs dari masa ke semasa.
4. Ceramah yang akan diadakan perlu mendapat kebenaran JAIPs.
5. Permohonan untuk mendapatkan kebenaran ceramah hendaklah dikemukakan 2 minggu sebelum tarikh ceramah diadakan.
6. Setiap penceramah perlu mematuhi syarat-ayarat berikut: i) Seorang guru dibenarkan mengajar tidak melebihi 2 kelas. ii) Kelas hendaklah diadakan di masjid / surau / dewan. iii) Kekerapan mengajar ialah sekali seminggu dan tidak melebihi 4 kali sebulan. iv) Pelajaran yang dikehendaki diajar adalah berdasar kepada Al Quran dan As Sunnah berpandukan kurikulum yang disediakan.
UNIT UKHUWAH Unit Ukhuwah pula menguruskan segala proses urusan berkenaan saudara baru bermula dari pendaftaran, bimbingan dan bayaran elaun. Setiap urusan mengenai saudara baru atau sesiapa yang ingin memeluk Islam hendaklah berurusan dengan unit ini.
AKTIVITI UNIT UKHUWAH
· Urusan permohonan dan pendaftaran memeluk Islam. · Program saudara baru. · Urusan rumah perlindungan saudara baru wanita Baitul Rahmah. · Kutipan derma khairat.
PROSEDUR PENDAFTARAN SAUDARA BARU
1. Pemohon hendaklah berumur 18 tahun ke atas. Pemohon di bawah umur perlu mendapat kebenaran ibu bapa / penjaga.
2. Pengislaman boleh dijalankan oleh mana-mana orang Islam. Sekiranya maklumat pengislaman itu tidak dapat diperolehi maka pegawai JAIPs bertanggungjawab menjalankan pengislaman untuk tujuan pendaftaran.
3. Pemohon perlu mengisi borang maklumat diri yang disediakan oleh JAIPs dan PERKIM dengan menyertakan 6 keeping gambar berukuran pasport.
4. Surat akuan memeluk Islam akan dikeluarkan selepas shaja diIslamkan. (Dalam tempoh seminggu)
5. Kad rasmi memeluk Islam akan dikeluarkan selepas satu bulan.
6. Saudara baru digalakkan mengikuti kelas Fardhu Ain yang dianjurkan oleh JAIPs atau mana-mana pihak berkuasa Agama Islam Negeri.
PERMOHONAN MEMUNGUT DERMA KHAIRAT
1. Setiap permohonan derma khairat perlu mengisi borang permohonan kebenaran memungut derma Negeri Perlis.
2. Permohonan hendaklah dibuat atas nama pertubuhan / jawatankuasa yang diiktiraf.
3. Permohonan hendaklah disertakan: i) Permohonan dalam negeri Surat kelulusan MAIPs atau dokumen yang berkaitan untuk membina masjid / surau / sekolah agama.
ii) Permohonan luar negeri Kelulusan memungut derma dari pihak berkuasa agama negeri-negeri.
4. Permohonan dari luar negara perlu mempunyai surat pengesahan / sokongan dari kedutaan negara berkenaan atau Wisma Putra / Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pungutan derma tersebut hendaklah melalui pertubuhan agama yang diiktiraf di negara ini.
5. kebenaran memungut derma adalah bagi tempoh 1 tahun. Bagi pemohon luar negara tertakluk pada tempoh visa.
|